Jumaat, 15 Mei 2015

Redha.

Assalamualaikum wbt.

Mencari keredhaan Illahi itu satu kewajipan buat semua yang bergelar Muslim. Begitu juga aku, berusaha dan terus berusaha. Namun hati ini tidak puas. Masih tercari-cari ruang dan lompang yang ada. Di saat semua rakan sudah punya kerjaya masing-masing. Tinggal aku sendirian, di ceruk kampung. Terasa diri begitu tidak berguna kepada orang tua. Belajar tinggi-tinggi, namun masih tidak mampu membalas jasa ibu bapa dengan keringatku sendiri. Malu menguasai diri. Lantaran itu, aku masih tidak mampu keluar dari kepompong menyalahkan diri. Acap kali aku berfikir. Mengapa begini? Mengapa begitu? Puas aku bermuhasabah diri. Mencari di mana silapnya. Terdetik di hati, setiap yang berlaku pasti dengan izin-Nya. Ya! Aku terlupa tentang itu. Lantas, aku tanamkan dalam diri, tetapkan dalam hati. Allah itu Maha Adil. Memang pada mata kasar aku tidak bekerja mahupun bergaji seperti rakan-rakanku yang lain. Redha dengan setiap ketentuan-Nya. In shaa Allah, pasti ketenangan yang aku miliki. Berbakti pada kedua orang tua itu juga satu pekerjaan. Pekerjaan dalam meraih pahala berganda daripada Allah swt. Alhamdulillah, aku masih berkesempatan untuk berbakti kepada orang tuaku. Menyediakan makan minum, mahupun mencuci baju. Alhamdulillah. Redha Allah terletak pada redha kedua ibu bapa. Mengapa harus aku siakan peluang yang ada? Bersyukurlah. Alhamdulillah. Kejayaan di dunia mahupun akhirat pasti dalam genggaman. Redha pada setiap liku perjalanan hidup yang Allah telah aturkan buat hamba-Nya. Sesungguhnya Allah swt jua sebaik-baik Perancang. 

Wassalam.

Tiada ulasan:

TINGGALKAN JEJAK ANDA, SAYA AKAN MENJEJAKI JEJAK ANDA KEMUDIAN